Aprilia perkenal Concept RS 660 di EICMA 2018

Sewaktu acara pertunjukan motosikal di EICMA 2018 yang berlangsung di Milan, Itali dalam bulan November tahun lepas, Aprilia telah mempersembahkan sebuah model konsep khusus untuk generasi baharu atau untuk golongan penunggang muda.

Diberi nama Aprilia Concept RS 660, model konsep ini mempunyai reka bentuk yang sporty dan agresif, bagaikan jelmaan sebuah jentera perlumbaan litar. Sistem penjana kuasanya dilahirkan daripada konsep enjin baharu yang sedang dibangunkan oleh jurutera Aprilia, 660cc parallel twin-cylinder dan bersaiz padat, yang diperolehi daripada enjin 1,110cc V4 yang dimiliki oleh model Tuono V4 dan RSV4 1100 Factory.

Konfigurasi enjin tersebut dipilih kerana sifat dan kecekapannya yang kompak, tahap habanya yang sangat rendah kepada penunggang, dan memberi peluang yang luas kepada pereka untuk mencipta kerangka dan suspensi yang ramping dan ringan.

Menurut Aprilia, pembangunan projek Concept RS 660 ini disasarkan untuk rangkaian yang lebih luas dengan hasrat menjadikan Aprilia sebagai pemain utama dalam segmen pasaran yang sangat ekstrem bukan saja di Eropah, malah di Asia dan Amerika.