KTNS CFMoto 250NK dilancarkan untuk pasaran Malaysia

KTNS Holdings Sdn. Bhd. baru-baru ini telah melancarkan model terbaharu CFMoto 250NK untuk pasaran Malaysia. Sekali imbas, reka bentuk model ini mempunyai persamaan dengan beberapa model keluaran Kawasaki dan KTM.

CFMoto 250NK mempunyai enjin berkapasiti 250cc (single cylinder, 4-stroke, liquid cooled, 4-valve, DOHC with balance shaft) yang digandingkan dengan kotak gear 6 kelajuan. Jumlah kuasanya ialah 26PS @ 9,000rpm dengan tork 22Nm @ 7,500rpm.

Antara ciri-ciri lain yang melengkapi motosikal ini ialah sistem Bosch EFI yang ekonomi dan rendah emisi, lampu LED penuh, fork depan USD, suspensi belakang tunggal, brek cakera depan dan belakang, butang mod Sport dan Rain, tangki minyak 12.5 liter, paras tempat duduk yang rendah 795mm dan berat hanya 151 kilogram sahaja.

Untuk pasaran Malaysia, KTNS CFMoto 250NK didatangkan dalam pilihan dua varian iaitu Standard (Non-ABS, paparan meter biasa) dan SE (ABS, paparan meter TFT), manakala pilihan warna ialah Nebula Black dan Electro Silvering.

Harga asas yang ditetapkan adalah sebanyak RM12,800.00 untuk varian Standard dan RM13,800.00 untuk varian SE. Tempoh jaminan adalah selama 2 tahun atau jarak perbatuan tanpa had (bergantung kepada terma dan syarat).