Benelli Imperiale 400 bergaya klasik, di pasaran Eropah awal 2019

Ini ialah model terbaharu Benelli Imperiale 400, tampil dengan gaya rekaan klasik yang elegan, moden dan retro, seterusnya memberikan tafsiran semula untuk rangkain model bersejarah Benelli-MotoBi yang dikeluarkan pada tahun 1950-an. 

Imperiale 400 diperkenalkan dalam tahun lepas sebagai sebuah model konsep, dan kini ianya bersedia untuk masuk ke pasaran Eropah pada awal tahun 2019 ini. Jantung motosikal ini ialah enjin bersesaran 373.5cc (Single cylinder, 4-stroke, Air cooled, single overhead camshaft SOHC) dengan kotak gear 5-kelajuan.

Enjin tersebut dibekalkan sistem suntikan bahan api elektronik untuk memaksimumkan tahap ekonomi dalam semua keadaan tunggangan. Kuasa maksimumnya ialah 20.4hp @ 5,500rpm dengan tork 28Nm @ 3,500rpm.

Motosikal ini dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang untuk kawalan pemberhentian yang lebih selamat. Rim roda aluminium aloi di bahagian depan berukuran 19 inci manakala di bahagian belakangnya berukuran 18 inci, masing-masing dengan tayar 110/90 dan 130/80.

Benelli Imperiale 400 model tahun 2019 ini mempunyai tiga pilihan warna iaitu hitam, merah dan perak. Buat masa ini harga jualannya masih belum diumumkan.