Yamaha lancar YZF-R15 Version 3.0 2019 dengan Dual Channel ABS untuk pasaran India

Untuk pasaran India, Yamaha baru-baru ini telah melancarkan YZF-R15 Version 3.0 model tahun 2019, yang kini dilengkapi dengan sistem brek Dual Channel ABS. Model tersebut juga menerima pilihan warna baharu Darknight, di samping pilihan dua warna sedia ada Racing Blue dan Thunder Grey.

Yamaha YZF-R15 Version 3.0 sebelum ini turut dilancarkan di pasaran ASEAN termasuk Malaysia, namun pasaran India menjadi yang pertama apabila menerima sistem brek ABS. Spesifikasi lain masih sama termasuklah enjin 155cc VVA dengan transmisi 6-kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum 19.3PS @ 10,000rpm dan tork 14.7Nm @ 8,500rpm. YZF-R15 V3.0 turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch.

Ciri-ciri lain adalah seperti rekaan lampu LED depan dan belakang aerodinamik, paparan meter digital dengan Gear-Shift Timing Light, port pengecas USB, tayar depan belakang yang lebar, lengan ayun aluminium dan kerangka Delta Box baharu.

Selaras dengan pertambahan sistem brek ABS, berat basah YZF-R15 V3.0 hanya meningkat kepada 142 kilogram dengan jarak kelegaan bumi 170mm. Harga jualan untuk model dengan warna Darknight ialah Rs. 141,000 atau RM8,157.31, manakala warna Racing Blue dan Thunder Grey berharga Rs. 139,000 atau RM8,041.60.