Honda CBR650R 2019 di pasaran Jepun mulai 15 Mac 2019

Sebuah lagi model yang tidak kurang hebatnya dipertontonkan di EICMA 2018 yang lalu ialah Honda CBR650R 2019. Model ini menggantikan Honda CBR650F, tampil dengan gaya dan rekaan baharu yang lebih tajam, agresif, dengan fairing sisi lebih panjang, ekor lebih pendek dan lampu hadapan berkembar LED yang sempit. 

Honda CBR650R 2019 mempunyai berat 6 kilogram kurang berbanding CBR650F yang digantikannya, dengan posisi tunggangan yang lebih sporty. Enjin 650cc empat silinder sebarisnya menghamburkan kuasa maksimum 95PS @ 12,000rpm dengan tork setinggi 64Nm @ 8,500rpm, dengan gandingan transmisi 6-kelajuan.

Ciri baharu yang dibekalkan untuk CBR650R termasuklah Assist & Slipper Clutch, HSTC (Honda Selectable Torque Control System) dan suspensi depan USD (up-side down), menyumbang kepada corak tunggangan yang lebih mudah dan lebih lancar seterusnya menambahbaik keseronokan sewaktu menunggangnya.

Untuk pasaran Jepun, Honda CBR650R 2019 bakal berada di pasaran secara rasmi mulai 15 Mac 2019 bersama-sama model Honda CB650R 2019. Harganya bermula dari 1,036,800 Yen, bersamaan RM39,043.81 (mengikut kadar tukaran semasa).