Yamaha YZF-R1 GYTR ’20th Anniversary’ 2019, edisi terhad dan eksklusif 20 unit sahaja

Pada awal November 2018 yang lalu, Yamaha telah mengumumkan pengeluaran sebuah model istimewa lagi eksklusif Yamaha YZF-R1 GYTR ’20th Anniversary’ 2019. Model tersebut didatangkan dengan grafik dan warna sama seperti yang digunakan oleh Yamaha Factory Racing Team dalam menempa kejayaan buat kali keempat berturut-turut dalam perlumbaan endurance motosikal berprestijĀ Suzuka 8 Hours.

Yamaha YZF-R1 GYTR juga sebagai penghormatan kepada model pertama YZF-R1 yang dikeluarkan pada 1998, yang mana usianya pada 2018 telah mencapai 20 tahun. Menurut Yamaha Motor Europe, YZF-R1 GYTR dibangunkan hanya untuk kegunaan di litar sahaja, dan sudah pasti ianya dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan teknologi perlumbaan berprestasi tinggi GYTR (Genuine Yamaha Technology Racing).

Untuk anda yang mungkin berminat, itu pun jika anda tinggal menetap di Eropah, Yamaha YZF-R1 GYTR yang sangat eksklusif ini hanya dikeluarkan dalam jumlah terhad (Limited Edition) sebanyak 20 unit sahaja. Setiap satu daripadanya melambangkan setiap tahun sejarah yang dicipta oleh YZF-R1 selama ini, sama ada di dalam atau di luar litar perlumbaan. Setiap unit juga memiliki nombor edisi terhad masing-masing disertai sijil pengesahan untuk mengesahkan ketulenannya.

Penghantaran Yamaha YZF-R1 GYTR ’20th Anniversary’ 2019 akan dilakukan pada pertengahan Mac 2019 dan tempahan untuk memiliki superbike unik ini telah pun dibuka sebelum ini. Untuk memilikinya, menurut sumber anda perlu menyediakan wang sekitar RM185,162. Jentera ini hanya untuk peminat perlumbaan sejati sahaja.