Yamaha MT-15 2019 dilancarkan di pasaran Indonesia

Sementara pasaran Malaysia dengan sabar menantikan kemasukan Yamaha M-Slaz / Yamaha Xabre yang sehingga kini tidak kunjung tiba, pasaran negara jiran Thailand dan Indonesia ketika ini telah pun menerima kemasukan model baharu Yamaha MT-15.

Yamaha MT-15 2019 dilancarkan di pasaran Indonesia pada tarikh 18 Januari 2019 yang lalu, manakala di pasaran Thailand ianya dilancarkan dalam bulan Oktober 2018. Yamaha MT-15 kini melengkapkan barisan model MT keluaran Yamaha yang mana ianya merangkumi model-model seperti MT-25, MT-03, MT-07, MT-09 dan MT-10.

Berdasarkan maklumat dari siaran akhbar Yamaha Motor Indonesia, MT-15 muncul dengan rekaan baharu, paling jelas dilihat ialah pada wajah depannya yang terlihat begitu berani dan agresif, berkat kehadiran dua lampu posisi LED yang menyerupai mata serta lampu utama yang menyerupai mulut yang sedang terbuka. Penampilannya itu bagaikan sang predator yang bersiap-sedia untuk menerkam mangsa. Lampu utama MT-15 sebenarnya begitu istimewa, kerana ianya telah menggunapakai teknologi Projector LED yang mampu menghasilkan cahaya yang lebih terang dan fokus.

Yamaha MT-15 juga dilengkapi dengan instrumen speedometer digital sepenuhnya dengan ton warna negatif, bersama-sama dengan shift timing light yang berfungsi untuk memberitahu penunggang masa yang paling sesuai untuk mengubah kedudukan gear demi mendapatkan prestasi tunggangan yang optimum. Handle bar lebar yang memberikan posisi duduk lebih tegak serta kehadiran suis big bike untuk sistem pengoperasian motosikal (cut off / on dan penghidup enjin), berjaya mencipta kesan bagaikan sebuah motosikal besar yang kental untuk MT-15.

Pelbagai ciri-ciri dan kelengkapan menarik dibekalkan untuk MT-15, antaranya termasuklah penggunaan lampu belakang LED yang terang, suspensi depan USD (up-side down) untuk kawalan selekoh yang lebih baik, dan penggunaan lengan ayun aluminium yang kukuh dan ringan serta rim tubeless bertapak lebar untuk tunggangan yang lebih stabil. Selain itu penggunaan rangka Delta Box yang ikonik dan terbukti kukuh menjadikan rasa tunggangan menjadi lebih rigid.

Yamaha MT-15 memiliki enjin berkapasiti 155cc dengan transmisi 6-kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 14.2kW @ 10,000rpm dengan tork setinggi 14.7Nm @ 8,500rpm. Lebih dari itu, enjin MT-15 juga telah dilengkapi sistem liquid cooled yang mampu menjaga suhu agar ianya kekal stabil, serta sistem Variable Valve Actuation (VVA) untuk hamparan tork lebih sekata pada setiap putaran enjin.

Kelebihan lain yang ada pada MT-15 ialah assists and slipper clutch yang membantu pertukaran gear menjadi ringan dan lebih lancar seterusnya menjadikan pecutan motosikal lebih pantas. Penggunaan teknologi DiAsil cylinder & forged piston pula menjadikan enjin tiga kali lebih tahan lama, tiga kali lebih kuat dan tiga kali lebih ringan.

Untuk pasaran Indonesia, Yamaha MT-15 2019 ini hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Matte Grey, Matte Blue dan Metallic Black, dan dijual pada harga Rp 34,950,000, atau sekitar RM10,212.00 (berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa).