Honda CB1100 RS 2019 kini di pasaran Malaysia

Pada 24 Januari 2019 yang baru saja berlalu, Boon Siew Honda secara rasminya telah melancarkan tiga model terbaharu untuk pasaran tempatan – Honda Super Cub C125Honda CBR1000RR Fireblade SP dan yang ketiga Honda CB1100 RS.

Honda CB1100 RS model tahun 2019 ini merupakan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan gaya klasik tahun 1970-an, tampil dengan tangki minyak yang dihasilkan tanpa kesan pateri dan diserlahkan lagi dengan kehalusan pertukangan tangan. Lampu utama tunggal berbentuk bulat dan dua dial instrumen memberikan siluet yang tidak ditelan zaman. Semua lampunya kini adalah LED untuk rekaan yang lebih moden.

Jentera yang menawan ini dikuasakan oleh enjin DOHC empat injap empat lejang dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 1,140cc. Ia mampu menjana kuasa mencecah 66kW pada 7,500rpm dan tork maksimum 91Nm pada 5,500rpm.

Gaya sporty CB1100 RS disokong oleh chasis yang menggunakan geometri lebih tajam, selain dipadankan dengan suspensi hadapan Showa Dual Bending Valve (SDBV) yang lebih keras dan Twin Showa remote reservoir rear shocks. Ia juga dilengkapi rim tempaan aluminium bersaiz 17 inci, dual radial-mount four-piston brake calipers dan ABS untuk tunggangan lebih baik. Posisi tunggangan yang lebih rendah dan kompak menolak berat penunggang ke hadapan, sekali gus menyempurnakan lagi perubahan chasis tersebut.

Untuk pasaran Malaysia, Honda CB1100 RS 2019 boleh didapati dalam pilihan warna Hitam Metalik (Darkness Black Metallic) dan Perak Metalik (Mat Beta Silver Metallic) bersama-sama kemasan yang kemas dan teliti. Harga yang ditawarkan untuk model ini ialah RM75,999.00 (tidak termasuk cukai jalan, insuran dan yuran pendaftaran).

Untuk pasaran Jepun, Honda CB1100 RS 2019 turut ditawarkan dalam pilihan warna biru, bersama-sama varian CB1100 2019 dan CB1100 EX 2019. Saksikannya dalam galeri yang disediakan di bawah :