Boon Siew Honda lancar CBR1000RR Fireblade SP 2019

Selepas memperkenalkan Honda CBR1000RR Fireblade sewaktu berlangsungnya acara Kuala Lumpur International Motorshow 2018 pada penghujung tahun lepas, kini Boon Siew Honda secara rasminya melancarkan pula model Honda CBR1000RR Fireblade SP 2019 untuk pasaran tempatan.

Menurut Boon Siew Honda, Fireblade SP akan menawarkan prestasi tunggangan yang lebih hebat, di sebalik jenteranya yang ringan dan dilengkapi teknologi canggih untuk pengguna yang mahukan pecutan dan gemar menunggang di litar. Honda CBR1000RR Fireblade SP membawakan konsep ‘Next Stage Total Control’ ke suatu tahap yang berlainan berbanding model Fireblade.

Dikuasakan enjin 4 lejang DOHC dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 1,000cc, ianya menghasilkan keluaran kuasa maksimum 189hp pada 13,000rpm dan tork puncak 114Nm pada 11,000rpm. CBR1000RR Fireblade SP juga tampil lebih ringan dengan berat hanya 195kg, namun mengekalkan tujahan kuasa yang sama.

Ia juga menjadi motosikal Honda pertama yang dilengkapi Ohlin Smart Electronically Controlled Suspensions, selain hadir dengan tangki minyak titanium kompak berkapasiti 16L, Sistem Brek Brembo, Quickshifter dan Cornering ABS. Semua itu membolehkan CBR1000RR Fireblade SP menjadi sebuah model ke tahap yang lebih tinggi.

Dari segi luaran, Fireblade SP didatangkan dengan pelekat HRC Tricolor, bersama jalur
berwarna putih dan biru yang menyerlahkan tradisi serta sejarah perlumbaan Honda. Harga jualan yang ditawarkan untuk Honda CBR1000RR Fireblade SP 2019 ini adalah sebanyak RM 114,999.00 (tidak termasuk cukai jalan, insuran dan yuran pendaftaran).