Benelli Leoncino 250 bakal tiba di pasaran Malaysia

Model ketiga yang bakal dilancarkan di pasaran Malaysia mulai pertengahan tahun ini selepas Benelli 502C dan Benelli TRK251, ialah Benelli Leoncino 250. Model berkenaan hadir dengan gaya klasik namun tetap kontemporari dan moden. 

Benelli Leoncino 250 model tahun 2019 ini dilengkapi enjin empat lejang 250cc dengan sistem penyejuk cecair, sistem suntikan elektronik, pemasaan enjin bercirikan double overhead camshaft (DOCH) dengan 4 injap 1 silinder, throttle body berdiameter 37mm, klac basahan minyak dan kotak gear 6 kelajuan. Janaan kuasanya mencapai angka 26.8hp @ 10,500rpm, manakala tork maksimumnya 21Nm @ 9,000rpm.

Mempunyai rekaan rangka yang disesuaikan dengan reka bentuk tangki minyak, motosikal ini dikatakan menawarkan tunggangan yang seimbang dan dinamik. Lampu hadapannya yang besar dipenuhi LED seterusnya menampakkan bentuknya yang elegan dan moden. Instrumen panel digital yang cerah dan jelas membolehkannya dilihat dalam semua keadaan. Seperti Benelli Leoncino 500, Benelli Leoncino 250 juga menampilkan singa Benelli di madgad depan bagi mengekalkan sejarah model ini.

Di bahagian hadapan, penggunaan suspensi hadapan jenis terbalik yang berdiameter 41mm dan penyerak hentak tunggal di bahagian belakang memastikan penunggangnya dapat menikmati perjalanan yang selesa. Model ini juga dilengkapi sistem brek depan berdiameter 280mm dengan kaliper 4 piston dan sistem brek belakang berukuran diameter 240mm beserta cakera 1 piston kaliper.

Dengan rim aloi aluminium bersaiz 17 inci serta tayar di bahagian hadapan bersaiz 110/70-R17 dan 150/60-R17 di bahagian belakang, ianya dapat memberikan cengkaman maksima di permukaan jalan raya. Model terbaharu Benelli Leoncino 250 ini dijangka akan berada di pasaran Malaysia bermula pertengahan tahun 2019.