Yamaha YZF-R25 2019 diperkenalkan di pasaran Malaysia

Bersama-sama pelancaran Yamaha Tracer 900GT 2019 pada siang tadi, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) turut memperkenalkan model terbaharu Yamaha YZF-R25 2019. Menurut HLYM, debut model berkenaan di pasaran Malaysia pada hari ini akan disusuli dengan pengumuman harganya pada bulan Mac 2019 akan datang.

Berbanding model sebelumnya, YZF-R25 2019 kini tampil dengan reka bentuk facelift baharu, di samping naik taraf beberapa spesifikasi terkini. Menurut Yamaha, ciri aerodinamik YZF-R25 kini telah diperbaiki, di samping penggunaan suspensi depan jenis terbalik untuk pengambilan selekoh yang lebih mantap. Penggunaan instrumen meter digital sepenuhnya pula memberikan pelbagai informasi berguna.

Yamaha YZF-R25 2019 didatangkan dalam versi ABS dan juga non-ABS, namun tidak dapat dipastikan sama ada pasaran Malaysia akan menerima versi ABS atau pun tidak. Dua pilihan warna untuk model berkenaan ialah Biru (Metallic Blue) dan Merah (Matte Red). Untuk anda yang berminat, nantikan ketibaan rasminya pada Mac depan.