Kenapa moped Modenas 150cc belum dilancarkan?

Apa khabar moped Modenas 150cc? Setelah beberapa tahun mengikuti perkembangan model moped 150cc pertama keluaran Modenas, terdapat pelbagai khabar angin yang berlegar-legar di alam siber mengenai model tersebut. Antaranya ialah ianya akan dikeluarkan dalam dua versi 150cc dan juga 175cc, untuk pasaran tempatan dan juga antarabangsa. Namun sehingga kini bayang model tersebut masih belum nampak.

Terdapat prototaip model tersebut yang sedang diuji di jalan raya, dan juga terdapat banyak keping gambar prototaip yang seakan-akan ianya telah pun bersedia untuk masuk di barisan pengeluaran di kilang Modenas yang terletak di Gurun, Kedah. Namun selepas beberapa tahun, moped Modenas 150cc atau 175cc itu sehingga kini terus tenggelam tanpa sebarang khabar berita. Adakah projek ini dibatalkan?

Sementara itu SYM, Yamaha, Honda dan Benelli sedang rancak menjual moped 185cc dan 150cc masing-masing, malah silih berganti mengemaskini setiap model mereka dengan penampilan dan warna baharu yang lebih segar. Pasaran motosikal moped dengan enjin 150cc ke atas sememangnya besar dan mempunyai jumlah peminat yang cukup ramai. Sayang sekali Modenas tidak sama-sama bersaing di dalam segmen itu.

Atau mungkin juga moped Modenas 150cc ketika ini masih dalam fasa ujian dan belum bersedia untuk dilancarkan. Namun tempoh pembangunannya yang terlalu lama mencetuskan banyak persoalan. Mungkin disebabkan Modenas ketika ini sibuk menjual motosikal yang dijenamakan semula dari Bajaj dan Kymco, maka mereka merasakan tiada keperluan untuk melancarkan model terbaharu 150cc dalam kategori moped.

Agak membingungkan pelan pemasaran Modenas ketika ini. Sedang pasaran ASEAN meletup dengan moped 150cc, Modenas pula didapati bergerak terlalu perlahan ke arah itu. Tanpa model baharu yang dihasilkan sendiri 100 peratus, imej Modenas menjadi tidak lebih kepada syarikat yang memasang semula model-model daripada jenama lain, seterusnya dipakaikan lencana Modenas untuk dijual di pasaran Malaysia.