Boon Siew Honda lancar Super Cub C125 untuk pasaran Malaysia

Boon Siew Honda baru-baru ini telah melancarkan model baharu Super Cub C125 untuk pasaran Malaysia. Menurut syarikat itu, Super Cub C100 mula diperkenalkan pada tahun 1958 buat pertama kalinya dan model tersebut telah memainkan peranan penting dalam kehidupan orang ramai sepanjang era tersebut.

Selepas 60 tahun, ia terus menjadi motosikal paling popular sepanjang masa dengan angka jualan mencecah 100 juta unit di seluruh dunia. Setelah sekian lama, kini tibalah masanya Boon Siew Honda memperkenalkan versi baharu Super Cub, iaitu Super Cub C125 ke pasaran tempatan. Seiring dengan namanya, model tersebut dilengkapi enjin empat lejang 125cc dengan sistem penyejuk udara dan sistem suntikan bahan api, dengan janaan kuasa mencapai 6.79kW @ 7,500rpm dan tork 9.98Nm @ 5,000rpm.

Di sebaliknya gayanya yang asli, Super Cub C125 turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan moden yang merangkumi lampu LED dan Sistem Kunci Pintar Honda. Ianya juga menawarkan akses kepada tangki minyak berkapasiti 3.7 liter di bawah tempat duduk yang boleh dibuka secara elektronik.

Honda Super Cub C125 hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Biru Mutiara (Pearl Niltava Blue), Merah Mutiara (Pearl Nebula Red) dan Hitam (Pearl Shinning Black). Ianya boleh didapati di semua pengedar sah Honda bermula Januari 2019, pada harga RM13,999.00 (tidak termasuk cukai jalan, insuran dan yuran pendaftaran).