Benelli 502C 2019 bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia

Di pasaran Malaysia, Benelli kian mengorak langkah dengan memperkenalkan beberapa model terbaharu dengan reka bentuk menarik, bermula dari segmen skuter, moped, sportbike, naked dan banyak lagi. Untuk pasaran tempatan mulai pertengahan tahun ini, dikhabarkan Benelli akan membawa masuk lagi tiga model terbaharu.

Ketiga-tiga model tersebut ialah model kembara Benelli TRK251, model naked Leoncino 250, dan terakhir ialah model cruiser ala Ducati Diavel yang diberi nama Benelli 502C. Untuk Benelli 502C model tahun 2019 ini, ianya dikuasakan enjin berkapasiti 500cc dengan keluaran maksimum 47.6hp @ 8,500rpm dan tork 45Nm @ 5,000rpm. Enjin tersebut dipadankan kotak gear 6-kelajuan dan suntikan eletronik.

Benelli 502C dibina menggunakan kerangka trellis untuk kawalan dan kelincahan maksimum. Bahagian roda depannya dibekalkan suspensi USD (upside-down fork), manakala bahagian belakangnya terdapat lengan ayun dengan suspensi monoshock di posisi tengah. Sistem brek depan terdiri daripada cakera berkembarĀ semi-floating 260mm dengan ABS, dan di bahagian belakang ialah cakera 240mm, denganĀ 4-piston callipers di bahagian depan dan single piston di bahagian belakang.

Rim aloi aluminium 502C berukuran 17 inci yang memuatkan tayar dengan saiz 120/70-R17 dan 160/60-R17. Tangkinya pula mempunyai kapasiti 21 liter untuk perjalanan yang lebih jauh. Ciri-ciri lain termasuklah lampu LED, yang mana ianya termasuk lampu depan dengan ciri DRL (Daytime Running Light) dan paparan meter digital. Harga untuk Benelli 502C di pasaran Malaysia buat masa ini masih belum diumumkan.