Yamaha perkenal FZ-FI dan FZS-FI 2019 untuk pasaran India

Yamaha baru-baru ini telah mengumumkan model terbaharu Yamaha FZ-FI 2019 bakal berada di pasaran India mulai hujung bulan ini. Model berkonsepkan Urban Fighter itu dilengkapi enjin 150cc BLUE CORE, hadir dalam varian FZ-FI dan FZS-FI. Bagi varian FZS-FI, kehadirannya turut dilengkapi under fairing dan metal plated air intake untuk penampilan yang lebih sporty berbanding varian FZ-FI.

Yamaha FZ-FI dan FZS-FI 2019 merupakan model yang direka untuk keselesaan penunggang dan juga pembonceng, yang mana ianya memiliki posisi tunggangan yang lebih santai dan dua tempat duduk (double-seat) yang selesa. Untuk keselamatan, brek depannya dilengkapi sistem brek ABS. Pengeluaran dan jualan motosikal terbaharu ini akan dilakukan oleh India Yamaha Motor Pvt. Ltd.

Untuk pasaran India menjelang tahun 2021, Yamaha meletakkan peningkatan sasaran jualan kepada 1.2 juta unit. Jualan semasa ketika ini berada dalam julat angka sekitar 780,000 unit. Yamaha FZ-FI 2019 akan dijual di pasaran India pada harga yang disyorkan sebanyak 95,000 Indian rupees (sekitar RM5,526.44), manakala Yamaha FZS-FI 2019 berharga sebanyak 97,000 Indian rupees (sekitar RM5,642.78).