Skuter Honda Vario 150 kini di pasaran Malaysia

Skuter bergaya sporty Honda Vario 150 telah dilancarkan di pasaran Malaysia dengan rasminya dalam bulan Ogos 2018 yang lalu. Harga sewaktu pelancarannya bermula dari RM7,199 untuk model asas, manakala Edisi Repsol berharga RM7,399, tanpa GST. Harga terkini untuk model berkenaan selepas SST mungkin telah berubah.

Menurut Boon Siew Honda yang mengedarkan motosikal ini untuk pasaran tempatan, Honda Vario 150 mempunyai ciri-ciri keselamatan moden yang dapat memberikan kepuasan maksimum kepada penunggang, manakala transmisi automatiknya pula menjadikannya lebih mudah untuk dikendalikan.

Honda Vario 150 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal empat lejang dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 150cc, dengan janaan kuasanya mencecah 13.1PS @ 8,500rpm dan tork 13.4Nm @ 5,000rpm. Enjin 150cc itu dilengkapi teknologi eSP dan Sistem Henti Melahu (Idling Stop System atau ISS) terkini untuk menawarkan prestasi tunggangan dan penjimatan bahan api yang luar biasa.

Model transmisi automatik Honda yang menarik ini menawarkan pelbagai ciri dengan nilai tambah seperti Lampu Utama Berkembar dan Lampu Belakang LED, Panel Meter LCD Digital, Sistem Kunci Pintar Honda, Peredam Sporty dengan Hujung Aluminium, Rim Sporty bersaiz 14 inci dengan Cakera Brek Beralun, Ruang Penyimpanan Barang di bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter dan juga disertakan dua poket rak penyimpanan dalaman untuk lebih kemudahan.

Aspek keselamatan turut diberi perhatian, di mana model skuter automatik Honda Vario 150 terbaharu ini dilengkapi Sistem Combi Brek yang membantu mengimbangi sistem brek pada roda hadapan dan belakang demi memberikan cengkaman brek yang lebih baik, seterusnya mencapai standard yang optimum.

Dari segi penampilannya, Honda Vario 150 didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu Hitam Mutiara (Pearl Magellanic Black), Biru Mutiara (Pearl Nightfall Blue), Perak metalik (Force Silver Metallic) dan Edisi Repsol. Model ini hadir bersama jaminan kilang selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (mana-mana tiba dahulu).