Produksi model terbaharu Ducati Diavel 1260 kini bermula

Ducati pada 21 Januari 2019 baru-baru ini telah mengumumkan produksi pertama model terbaharu Diavel 1260 telah pun bermula dari kilang Borgo Panigale, Bologna. Ducati Diavel 1260 2019 bersama-sama versi lebih sporty Ducati Diavel 1260 S 2019 buat pertama kalinya diperkenalkan secara rasmi di EICMA 2018 pada November.

Diavel 1260 merupakan generasi kedua untuk model unik berkenaan, selepas pelancaran generasi pertama Diavel berlangsung di EICMA 2010. Diavel 1260 dikuasakan enjin Testastretta DVT 1262 dengan kelengkapan pelbagai teknologi dan sistem eletronik termaju, memiliki casis yang telah dinaik taraf dan sistem brek berprestasi tinggi. Ciri tunggangannya juga selesa untuk penunggang dan juga pembonceng, sumbangan dari posisi menunggang yang menegak, tempat duduk yang empuk dan luas, termasuklah roda belakang 17 inci dengan tayar lebar 240mm.

Versi lebih sporty Diavel 1260 S menampilkan suspensi Öhlins, roda yang khusus, malah sistem brek dengan prestasi yang lebih tinggi bersama-sama teknologi Ducati Quick Shift up & down Evo sebagai ciri standard. Diavel 1260 dan 1260 S akan berada di pasaran Eropah mulai pertengahan Februari 2019. Warna yang tersedia ialah Sandstone Grey untuk Diavel 1260, manakala Diavel 1260 S mempunyai pilihan dua warna iaitu Sandstone Grey dan Thrilling Black & Dark Stealth.