Motosikal

Informasi Dua Roda

Honda PCX150 2018 diperkenalkan untuk pasaran Malaysia

 

Skuter baharu Honda PCX150 model tahun 2018 kini diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Bagaimanapun model ini dijadualkan akan berada di pasaran secara rasmi mulai bulan Ogos depan, pada harga jualan sebanyak RM10,999.00 (harga yang disyorkan dengan 0% GST, tidak termasuk cukai jalan, insuran dan pendaftaran).

Antara perubahan paling ketara PCX150 baharu ini ialah dari segi rekaan di bahagian depannya, menjadikan rupa parasnya kini kelihatan lebih premium dan sporty. Di bahagian depannya terdapat dua lampu utama LED yang digandingkan bersama-sama lampu siang LED, termasuklah lampu belakang LED yang juga diperbaharui semula rekaannya.

Sebagaimana model terdahulu, PCX150 baharu turut menyediakan kemudahan ruang simpanan berkunci di bawah tempat duduk sebesar 25 liter. Tempat duduk tersebut kini kekal terbuka dengan sokongan spring, yang membolehkan simpanan barangan dilakukan lebih mudah tanpa perlu memegangnya. Ruang tersebut juga kekal praktikal apabila boleh menampung sebuah topi keledar bermuka penuh. Kemudahan pengecasan peranti elektronik melalui punca kuasa 12-volt juga tersedia di dalam kotak sarung tangan.

Konsol pemuka PCX150 baharu ini menempatkan sebuah meter kelajuan digital jenis terbalik yang memaparkan semua maklumat penting dengan kemas. Paparan maklumat terdiri daripada cahaya amaran enjin, peringatan perubahan minyak, jam digital, odometer, penunjuk sistem henti melalui sistem ‘Stop Idling’, dan tolok bahan api digital yang mengira penggunaan bahan api dengan tepat.

Menurut Boon Siew Honda yang mengedarkan skuter ini, buat pertama kalinya PCX150 menggunapakai Sistem Kunci SMART yang menggabungkan ciri model terdahulu seperti penggera anti-kecurian dan sistem pencarian skuter dari jauh. Sistem Kunci SMART yang baru kini mempunyai sistem penghidupan enjin tanpa kunci yang menggantikan sistem penghidupan tradisional.

Seterusnya dalam usaha meningkatkan keupayaan penunggangan jarak jauh, PCX150 baharu ini dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 8 liter yang membolehkannya menjadi skuter komuter jarak jauh. Di samping itu, beberapa ciri telah ditambah untuk meningkatkan lagi kecekapan penggunaan bahan apinya. Antaranya ialah sistem henti melahu, yang secara ringkas memutuskan bekalan bahan api kepada enjin selepas tiga saat skuter ini berhenti tanpa bergerak, seperti ketika berada di lampu isyarat. Kuasa akan dipulihkan semula apabila pendikit dikilas.

Kuasanya dibekalkan oleh enjin sejukan cecair Honda dan Programmed Fuel Injection (PGM-FI) Honda yang berprestasi hebat dalam semua keadaan trafik. Ujian yang dijalankan oleh Honda menunjukkan bahawa di dalam persekitaran terkawal, PCX150 mampu mencapai sehingga 51.2 km/l dengan sistem henti melahu diaktifkan. Enjin 149cc yang melengkapinya menjana 14.5hp @ 8,500rpm dan menghasilkan tork 13.6Nm @ 6,500 rpm. Kuasa enjin dihantar melalui sistem cekam emparan kering automatik Honda V-Matic (Dry Type Automatik Centrifugal Clutch transmission) ke roda belakang melalui talisawat.

Skuter Honda PCX150 2018 baharu ini kini disediakan dalam dua pilihan warna baharu yang menarik: merah (Euphoria Red Metallic) dan kelabu (Radiate Grey Metallic), serta warna putih (Pearl Metalloid White) yang malar popular. Untuk ketenangan fikiran pemiliknya, Boon Siew Honda menawarkan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu) untuk model ini.

Motosikal © 2018