Motosikal

Informasi Dua Roda

Suzuki GSX-R150 2018 dikemaskini untuk pasaran Indonesia

 

Para peminat motosikal berjenama Suzuki di pasaran Malaysia mungkin tidak mempunyai banyak pilihan, kecuali dalam segmen motosikal besar. Bagaimanapun di pasaran Indonesia, Suzuki menawarkan banyak pilihan model-model motosikal yang menarik, antaranya seperti model ‘supersport’ kecil ini iaitu Suzuki GSX-R150 model tahun 2018. 

Suzuki GSX-R150 mula beredar di pasaran Indonesia sejak tahun 2017, dan kini setelah setahun kehadirannya, versi kemaskini lebih segar telah diperkenalkan dalam bulan April 2018 yang lalu. Bagi model berwarna ‘Titan Black – Rouge Red Casting Wheels’, ‘Metallic Tritone Blue’ dan ‘Stronger Red/Solid Black’ yang tampil lebih menyerlah, ianya kini turut dilengkapi ciri canggih ‘Keyless Ignition System’. Bagi varian GSX-R150 dengan ciri ‘Shuttered Key System’, ianya masih tetap tersedia dengan pilihan warna ‘Solid Black’ dan ‘Stronger Red/Solid Black’ yang tidak kurang menariknya.

Melihat kepada spesifikasinya, Suzuki GSX-R150 2018 merupakan sebuah motosikal sport dengan dimensi kompak dan ringan. Enjin yang dibekalkan bersesaran 150cc (1-cylinder, Water-cooled, 4-stroke, DOHC 4-valve) berteknologi ‘Fuel Injection’ dengan transmisi 6-kelajuan, menghasilkan prestasi yang memuaskan pada pencapaian maksimum 14.1kw @ 10,500rpm dan tork puncak 14.0Nm @ 9,000rpm. Panel ‘instrument cluster speedometer digital’ yang informatif dan mudah dibaca menambahkan lagi kecanggihannya. Begitu juga dengan lampu depan LED yang terang dengan rekaan agresif memberikan kesan sporty namun tetap memberikan kemudahan dan keselesaan di jalan raya.

Menariknya, Suzuki GSX-R150 2018 untuk pasaran Indonesia masih ditawarkan dengan harga jualan yang kompetetif di dalam kelasnya. Bagi varian Suzuki GSX-R150 dengan ciri ‘Keyless Ignition System’, ianya ditawarkan pada harga Rp 30,150,000, manakala untuk varian ‘Shuttered Key System’, ianya boleh dimiliki pada harga sebanyak Rp 29,150,000. Menurut Suzuki, kedua-dua harga tersebut adalah harga di atas jalan DKI Jakarta.

Dari segi prestasi jualannya di pasaran Indonesia, sejak awal kemunculannya sehingga akhir tahun 2017, Suzuki GSX-R150 telah merekodkan jualan lebih daripada 28,000 unit. Mungkin pada masa depan, jika ada pengedar baharu Suzuki di pasaran Malaysia yang agresif dan bercita-cita tinggi, kita akan dapat melihat kehadiran model menarik ini.

Motosikal © 2018