Motosikal

Informasi Dua Roda

Selamat tinggal Yamaha 125ZR, pengeluaran telah ditamatkan

 

Walaupun model dua lejang legenda Yamaha 125ZR masih boleh didapati di pasaran ketika ini, ianya merupakan saki-baki pengeluaran yang hanya menunggu masa sahaja untuk habis dibeli oleh peminat setia. Berdasarkan laporan terdahulu, enjin terakhir Yamaha 125ZR yang dikeluarkan adalah dalam tahun lepas, pada tarikh 27 Disember 2017.

Sekeping gambar yang dijadikan rujukan seperti di bawah telah membuktikan bahawa Yamaha 125ZR memang benar-benar telah ditamatkan pengeluarannya. Versi terakhir untuk model tersebut ialah Yamaha 125ZR Special Limited MotoGP Edition, yang diperkenalkan pada pertengahan tahun lepas. Model ini boleh dirujuk sebagai model tahun 2017 atau model tahun 2018, melambangkan tahun-tahun terakhir untuk hayatnya.

Salah satu sebab kenapa pengeluaran 125ZR terpaksa dihentikan ialah kerana ianya tidak lagi memenuhi piawaian alam sekitar masa kini yang lebih mementingkan teknologi mesra alam. Untuk peminat motosikal dua lejang, mungkin satu-satunya pilihan yang ada selepas ini ialah Modenas Dinamik 120, itu pun jika ianya tidak menerima nasib yang sama.

Sumber gambar enjin di atas dari laman Facebook.

Motosikal © 2018