Motosikal

Informasi Dua Roda

Model baharu Yamaha akan dilancarkan pada 28 Julai 2018, adakah ianya Yamaha YZF-R15 serba baharu?

 

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) baru-baru ini telah mengedarkan jemputan rasmi kepada wakil-wakil media, bagi menghadiri acara pelancaran sebuah model baharu Yamaha yang akan berlangsung pada tarikh 28 Julai 2018 (Sabtu), bertempat di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. 

Setakat ini masih belum dapat dipastikan model motosikal apakah yang akan dilancarkan nanti, namun begitu besar kemungkinan ianya adalah model Yamaha YZF-R15 serba baharu yang sebelum ini telah dilancarkan di pasaran Indonesia dan India. Model tersebut sebelum ini juga didapati telah diuji di jalan raya Malaysia, dan dikhabarkan ianya akan menggantikan model semasa Yamaha FZ150i.

Pada keesokan harinya pula pada tarikh 29 Julai 2018 (Ahad), HLYM turut menganjurkan sebuah acara yang diberi nama Karnival Bikers – Karnival Gen Blu Yamaha. Lokasi acara tersebut juga diadakan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, bermula dari jam 10.00 pagi sehingga jam 06.00 petang. Ianya terbuka kepada semua pengunjung dan masuk adalah percuma.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada laman sesawang rasmi HLYM, pelbagai aktiviti menarik telah diatur untuk semua pengunjung yang pastinya menyeronokkan dan menghiburkan. Jadi kepada semua ‘bikers’ kental di luar sana, nantikan pelancaran model baharu Yamaha, dan pada masa yang sama berhibur di Karnival Gen Blu Yamaha pada hujung bulan nanti.

Motosikal © 2018