Motosikal

Informasi Dua Roda

Honda Forza 125 2018 untuk pasaran Eropah

 

Honda Forza 125 model tahun 2018 ini merupakan sebuah skuter yang mempunyai penampilan cukup menarik, direka untuk para pelanggan di Eropah yang mahukan setiap aspek daripadanya berada pada tahap maksimum, merangkumi gaya, prestasi dan spesifikasi. Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, Forza 125 telah mencapai semua jangkaan dan telah mencatatkan jualan melebihi 30,000 unit sehingga kini.

Menurut Honda, Forza 125 menawarkan dimensi yang kompak, kelincahan di dalam bandar dan kemampuan tunggangan jauh di lebuhraya melalui kuasa, perlindungan dari angin dan keselesaan. Ianya menggabungkan keselesaan skuter ‘GT’ (Grand Touring) bercirikan sport dan kawalan yang mantap, pada masa yang sama menawarkan ruang storan yang luas, pelbagai perincian maksimum termasuklah inovasi kejuruteraan dan kualiti binaan Honda.

Ramuan utama kejayaan Forza 125 bagi model tahun 2018 ini dikatakan kekal tidak berubah. Ianya mempunyai enjin bersesaran 125cc (4 stroke-4 valve liquid-cooled) dengan sistem ‘PGM-FI electronic fuel injection’, menghasilkan kuasa maksimum 11.0kW @ 8,500rpm dengan tork 12.5Nm @ 8,250rpm. Ianya bukan sahaja berprestasi, malah begitu cekap dengan mencapai jarak perjalanan 490km bagi setangki penuh bahan api.

Honda Forza 125 2018 turut dilengkapi teknologi ‘Idling Stop’, casis yang ringan untuk pecutan dan kelincahan tunggangan yang seimbang, pelbagai spesifikasi antaranya termasuklah sistem lampu LED, ‘Smart Key’, ruang untuk menempatkan dua buah topi keledar, dan keselesaan tunggangan untuk dua orang. Fasiliti pengeluaran untuk model ini juga tidak berubah, melalui kilang canggih Honda yang terletak di Atessa, Itali.

Bagaimanapun masih terdapat beberapa tambahan terbaharu yang signifikan untuk Forza 125. Spesifikasi dan peralatan yang melengkapinya telah mencapai paras yang lain, dengan kehadiran skrin yang boleh dilaras secara eletrikal untuk perlindungan sepenuhnya daripada angin, serta instrumen yang disemak semula kini menawarkan lebih informasi melalui paparan digital, dalam memberikan sokongan kepada meter analog. Naik taraf lain ialah peningkatan ruang storan sehingga 5.5 liter, manakala ‘Smart Key’ kini turut menawarkan kawalan terhadap ‘top box’ 45 liter yang tersedia sebagai aksesori pilihan.

Honda Forza 125 2018 untuk pasaran Eropah boleh didapati dalam lima pilihan warna, termasuk dua warna terbaharu seperti berikut; ‘Matt Carnelian Red Metallic/Pearl Nightstar Black’ (warna baharu untuk 2018), ‘Matt Pearl Cool White/Matt Cynos Grey Metallic’ (warna baharu untuk 2018), ‘Matt Lucent Silver Metallic/Matt Pearl Pacific Blue’, ‘Matt Cynos Grey Metallic/Matt Carbonium Grey Metallic’ dan ‘Black/Matt Cynos Grey Metallic’.

Motosikal © 2018