Motosikal

Informasi Dua Roda

Penampilan baharu untuk Honda EX5 2018

 

Pada 14 Mei 2018 yang lepas, Boon Siew Honda (BSH) telah memperkenalkan penampilan baharu untuk model cub legenda Honda EX5, yang kini didatangkan dalam pilihan warna baru ‘Space Magenta Metallic’, bersama-sama jalur retro terkini untuk menyerlahkan lagi penampilan bergaya model tersebut.

EX5 merupakan model kapcai popular di pasaran Malaysia, dan sejak ianya dilancarkan pada tahun 1987, lebih 2 juta unit telah terjual sehingga April 2018. EX5 juga menjadi model cub pertama di Malaysia dalam kelasnya yang dipasang dengan teknologi baharu iaitu sistem enjin FI yang dibangunkan untuk meningkatkan kuasa serta penjimatan bahan api.

Menurut BSH, menerusi penggunaan teknik kawalan elektronik, sistem suntikan bahan api (FI) membolehkan enjin hanya memerlukan nisbah udarabahan api yang minimum ketika beroperasi. Hasilnya, ia mampu menawarkan prestasi yang lebih mesra alam dan kualiti tunggangan yang lebih baik. Di samping itu, tangki minyak berkapasiti 4.3 liter dapat mengurangkan kekerapan mengisi petrol, sekaligus menawarkan kemudahan kepada penunggang untuk perjalanan yang lebih jauh.

Dari segi penampilan pula, EX5 baharu model tahun 2018 ini direka agar ianya kelihatan lebih bergaya. Hadir bersama-sama jalur retro, lambang serta pemegang belakang krom telah memberikan imej vintaj kepada model tersebut. Selain itu, penutup ekzos krom tidak hanya menarik dari segi penampilan tetapi juga bertindak sebagai ciri keselamatan tambahan dari haba.

Dalam siaran akhbar rasmi yang disiarkan, Boon Siew Honda percaya bahawa dengan pengenalan EX5 baharu ini ianya akan dapat menarik minat kumpulan pelanggan baru terutama kepada pengguna muda yang lebih sukakan sebuah model cub yang mempunyai reputasi yang baik dengan reka bentuk yang bergaya dan menyerlah.

Honda EX5 2018 baharu boleh didapati seperti berikut :

Jenis Warna harga (tanpa GST) Harga ( dengan GST)
Spoke (Electric Starter) 1) Pearl Magellanic Black
2) Pearl Nightfall Blue
RM4,859.00 RM5,150.54
Cast (Electric Starter) 1) Pearl Nightfall Blue
2) Candy Scintillated Red
3) Space Magenta Metallic
RM5,099.00 RM5,404.94

Harga yang ditunjukkan adalah harga ruang pameran untuk rujukan sahaja tetapi tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Model ini juga dilengkapi dengan jaminan kilang dua tahun atau 20,000km (mana-mana yang tiba dahulu).

Motosikal © 2018