Motosikal

Informasi Dua Roda

SYM Sport Rider 125i diperkenalkan dengan grafik terbaharu

 

Pada penghujung bulan Mei 2018 yang lalu, SYM Malaysia telah memperkenalkan model moped Sport Rider 125i yang kini telah disegarkan semula penampilannya melalui penggunaan grafik terbaharu. Model tersebut turut didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menyerlah seperti biru, merah dan kuning.

SYM Sport Rider 125i model tahun 2018 ini mempunyai enjin 123cc SOHC dua injap dengan transmisi 4-kelajuan, menjana kuasa sebanyak 9.5hp @ 8,000rpm dengan keluaran tork setinggi 10.8Nm @ 5,500rpm. Model tersebut turut dilengkapi enjin EFI, menjadikannya model pertama keluaran SYM yang mempunyai teknologi tersebut. Enjin tersebut mematuhi piawaian Euro 3 yang mesra alam dan menjimatkan penggunaan bahan api.

Ciri-ciri lain yang melengkapi Sport Rider 125i antaranya ialah reka bentuknya yang sporty, paparan meter kombinasi LCD dan analog, tangki bahan api seluas 4.2 liter, lampu belakang LED, tempat duduk berasingan untuk penunggang dan pembonceng sebagai ciri keselamatan juga keselesaan sewaktu ditunggang, dan ianya kini turut di lengkapi ruang penyimpanan di bawah tempat duduk.

Sementara itu sistem brek hidraulik depan dan gelendong (drum) belakang mampu menghentikan jentera seberat 107kg ini dengan mudah. Suspensi jenis teleskopik hadapan dan lengan buai di belakang pula memberi kestabilan ketika menunggang di jalan raya. Harga yang telah ditetapkan untuk Sport Rider 125i baharu ini adalah RM5,542.20 (harga asas tanpa GST, insuran & cukai jalan).

Untuk makluman anda, SYM Malaysia pada pertengahan April yang lepas telah melancarkan sebuah lagi moped yang merupakan model baharu sepenuhnya, dikenali dengan nama SYM VF3i. Moped tersebut dilengkapi enjin berkapasiti 183cc dengan transmisi 6-kelajuan dan klac tangan. Harga jualannya dalam lingkungan lebih RM8k.

Motosikal © 2018