Motosikal

Informasi Dua Roda

Ducati memperkenalkan Monster 1200 25° Anniversario

 

Pada 27 Jun 2018, bertempat di Bologna, Itali, Ducati telah memperkenalkan Monster edisi terbaharu – Ducati Monster 1200 25° Anniversario. Merujuk kepada sejarah model berkenaan, Monster buat pertama kalinya diperkenalkan kepada umum pada tahun 1992, dengan pengeluarannya bermula pada 5 Mac 1993.

Dalam hanya beberapa tahun selepas itu, Monster telah menjadi sebuah model ikonik dalam dunia motosikal, dan boleh dikatakan ianya menjadi pencetus kepada kategori motosikal naked berkuasa tinggi dan berjaya mempopularkan segmen tersebut. Menurut Ducati, lebih daripada 325,000 Monster telah dikeluarkan sejak tahun 1993.

Oleh itu bagi meraikan kejayaan model tersebut dalam tempoh 25 tahun (1993 – 2018), Ducati dengan rasminya memperkenalkan Monster 1200 25° Anniversario (Monster 1200 25th Anniversary). Monster edisi ulangtahun ke-25 tahun itu hanya akan dikeluarkan dalam jumlah sebanyak 500 unit sahaja untuk pasaran seluruh dunia.

Ducati Monster 1200 25° Anniversario dikuasakan enjin Testastretta 11° DS dengan teknologi paling terkini, berkapasiti 1,198cc ( L-Twin, 4 Desmodromically actuated valves per cylinder, Dual spark, Liquid cooled), yang menghasilkan kuasa maksimum 147hp @ 9,250rpm dengan tork puncak mencapai angka 124Nm @ 7,750rpm.

Untuk para peminat atau pengumpul koleksi, Monster 1200 25° Anniversario akan boleh didapati di pasaran Eropah mulai bulan September akan datang, manakala di pasaran Jepun mulai bulan Oktober. Untuk pasaran USA, ianya akan boleh didapati mulai bulan November dan mulai Disember untuk pasaran Australia.

Motosikal © 2018