Motosikal

Informasi Dua Roda

Modenas dalam perancangan untuk melancarkan dua model baharu Bajaj Dominar 400 dan Bajaj Boxer 150cc

 

Menurut laporan daripada Bernama hari ini, pengeluar motosikal nasional Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) sedang merancang untuk melancarkan lagi dua model baharu hasil kerjasama dengan Bajaj Auto Limited (BAL) dari India.

Kedua-dua model tersebut yang telah disahkan ialah Bajaj Dominar 400, manakala sebuah model lagi dikatakan Bajaj Boxer 150. Bagaimanapun menurut Modenas, pelancaran Boxer 150 akan bergantung kepada kajian yang akan dijalankan terlebih dahulu, sama ada terdapat permintaan untuk model seperti itu di pasaran Malaysia.

Kerjasama yang termeterai di antara Modenas dan BAL sebelum ini menyaksikan pelancaran tiga model motosikal terbaharu untuk pasaran Malaysia iaitu Modenas V15 yang bergaya Cafe Racer, Modenas Pulsar NS200 (naked street bike) dan Modenas Pulsar RS 200 (racer sports), masing-masing pada harga RM5,650, RM8,700 dan RM10,700.

Untuk model akan datang Dominar 400 dan Boxer 150, para penganalis dan pihak media menjangkakan harga yang akan ditawarkan untuk kedua-dua model di pasaran Malaysia adalah di bawah RM20,000 dan RM6,000, masing-masing.

Menurut laporan dari Bernama lagi, Modenas kini dalam perancangan untuk memasang barisan pemasangan baharu di kilangnya di Gurun, Kedah, khusus untuk pengeluaran motosikal Bajaj. Sebelum ini motosikal Bajaj dipasang oleh Modenas secara CKD.

Motosikal © 2018