Boon Siew Honda lancar dua model kembara CRF250L dan CRF250 Rally 2017

Honda CRF250L 2017

Pada 28hb. Ogos 2017 baru-baru ini, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) dengan rasminya melancarkan dua model kembara CRF250L dan CRF250 Rally 2017 serba baharu untuk pasaran tempatan.

Kedua-dua motosikal tersebut dikatakan mampu memenuhi kehendak penggemar motosikal pengembaraan ringan yang menginginkan keseronokan tunggangan di atas jalan raya dan off-road bagi kembara hujung minggu, keselesaan untuk dibawa melancong dan berfungsi praktikal untuk kegunaan harian.

Honda CRF250L 2017 dikuasai oleh enjin DOHC silinder tunggal penyejuk cecair berkapasiti 249cc yang patuh standard EURO4, mempunyai kuasa maksimum 18.2kW @ 8,500rpm dengan tork puncak 22.6Nm tiba pada angka 6,750rpm.

Model tersebut ditampilkan dalam warna perlumbaan Honda iaitu “Merah Menyala Honda” sebagai asas dengan serlahan hitam dan putih yang diinspirasikan daripada mesin-mesin HRC.

Bagi model CRF250L Rally pula, ianya hadir dengan moto “Weekend Adventure (Pengembaraan Hujung Minggu)”, yang mana ianya merupakan motosikal dwitujuan 250cc dengan piawaian standard EURO4.

Model tersebut dikatakan bukan sahaja kelihatan bersedia untuk bersaing di padang pasir tetapi juga menyediakan pengalaman pengembaraan sebenar kepada penunggang yang menggemari sebuah mesin ringan dan mudah dijaga.

Honda CRF250 Rally menggunakan CRF250L sebagai asasnya dengan pelbagai perubahan yang menjadikannya satu tawaran unik di pasaran. Inspirasi penampilannya datang daripada jentera perlumbaan CRF450 Rally.

Honda CRF250 Rally 2017

Di bahagian depan, paparan, fairing dan penutup radiator menyediakan perlindungan terhadap angin, dengan bahagian lain pada jentera berkenaan memaparkan gaya MX yang minimum.

Lampu depan model berkenaan bersaiz kompak dengan dwi-LED asimetrik sementara lampu belakang, lampu isyarat LED dan braket nombor plat yang tidak menonjol.

Prestasi enjin DOHC lejang tunggal penyejukan cecair 250cc CRF250 Rally tertumpu pada daya kilas pada kelajuan enjin rendah dan kuasa rpm tinggi termasuk penyampaian linear. Kuasa maksimum 18.2kW disampaikan pada 8,500rpm dengan tork puncak 22.6Nm pada 6,750rpm.

Honda CRF250 Rally 2017 didatangkan dengan perapian warna perlumbaan “Merah Menyala Honda” sebagai asas dengan serlahan hitam dan putih yang diilhamkan oleh mesin-mesin kilang HRC.

Model-model baharu Honda CRF250L dan CRF250 Rally 2017 telah berada di pengedar Honda bermula dari 28hb. Ogos 2017, dan masing-masing ditawarkan pada harga RM24,378.94 dan RM28,618.94.

Harga tersebut termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, insuran dan pendaftaran. Model-model tersebut juga didatangkan dengan jaminan pengilang selama dua tahun atau jarak 20,000km (yang mana terdahulu).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *