Motosikal

Informasi Dua Roda

Boon Siew Honda lancar Honda Wave 125i baharu

 

Pada penghujung bulan April 2017 yang lepas, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) dengan rasminya melancarkan Honda Wave 125i baharu untuk pasaran tempatan. 

Model tersebut hadir selepas pengenalan model Honda Future FI yang dilengkapi dengan teknologi suntikan bahan api terancang PGM-FI pada bulan Mei 2016.

Honda Wave 125i baharu merupakan sebuah model kapchai premium di dalam kelasnya, dilengkapi enjin 124.9cc yang ekonomi, dengan prestasi yang dihasilkan mencapai 6.76kW @ 7,500rpm dan tork 10.08Nm @ 5,500rpm.

Antara ciri-ciri menarik lain yang melengkapinya termasuklah sistem brek cakera depan dan belakang, lampu belakang moden yang terang dan jelas, panel meter rekaan premium dan tangki bahan api seluas 5.4 liter.

Paling menarik dan unik ialah ruang simpanan barang-barang di bawah kusyennya yang mencapai ukuran 18 liter, sehingga boleh menempatkan sebuah topi keledar bermuka penuh tanpa sebarang masalah.

Menurut BSH, Honda Wave 125i baharu telah diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicle – EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Honda Wave 125i baharu boleh didapati dalam tiga warna premium seperti Merah ‘Candy’ (Candy Scintillate Red), Biru Mutiara (Pearl Nightfall Blue), dan Kelabu Metalik (Sword Silver Metallic).

Ianya ditawarkan dalam dua varian iaitu Brek Cakera Tunggal dan Dwi Brek Cakera, masing-masing pada harga bermula dari RM6,263.54 dan RM6,549.74 termasuk GST (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).

Model tersebut juga didatangkan dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer dan warranti tambahan satu tahun atau 10,000 kilometer untuk enjin (yang mana terdahulu).

Motosikal © 2018