Motosikal

Informasi Dua Roda

Naza Premira lancar Vespa S125 I-GET untuk pasaran Malaysia

Di samping pelancaran model skuter Piaggio Medley S 150 ABS terbaharu bersempena dengan acara NAZA Merdeka Autofair 2017 yang diadakan pada Ogos, Naza Premira Sdn Bhd turut melancarkan Vespa S125 I-GET terbaharu.

Enjin I-GET merujuk kepada ‘Italian Green Experience Technology’, dikatakan sebagai pendekatan terbaharu dalam rekaan enjin dan pembangunannya, dengan sasaran untuk meningkatkan kecekapan dan menambahbaik prestasi keseluruhan.

Enjin I-GET yang melengkapi Vespa S125 ini merupakan enjin ultra moden 125cc empat lejang dengan satu silinder tunggal, bersama-sama sistem penyejuk jenis udara dengan sistem suntikan eletronik dan 3 injap pemasaan.

Menurut Naza Premira, enjin tersebut sangat mesra alam dan ianya mematuhi piawaian Euro 3 Multi-Directive, dengan prestasi yang dihasilkan dikatakan teratas di dalam kategorinya (10.2hp @ 7,600rpm & 10.2Nm 6,000rpm).

Selain dari prestasi yang cukup memuaskan, kadar penggunaan bahan api juga telah berjaya dikurangkan ke tahap minimum mencapai 60km/liter pada kelajuan 50km/j.

Terima kasih kepada tangki bahan api yang mampu diisi sehingga kapasiti 7 liter, Vespa S125 I-GET terbaharu ini juga mampu menjangkau jarak tunggangan lebih jauh sehingga 420km dengan hanya satu tangki penuh.

Untuk pasaran Malaysia, empat pilihan skim warna ditawarkan seperti ‘Grigio Titanio’ (Grey), ‘Green Matt’, ‘Taormina’ dan ‘Red Matt’. Harga jualan tunai atas jalan (OTR) ditetapkan sebanyak RM13,097.40.

Motosikal © 2018