Motosikal

Informasi Dua Roda

Naza Premira lancar skuter Piaggio Medley S 150 ABS untuk pasaran Malaysia

Pada pertengahan bulan Ogos 2017 yang lepas, Naza Premira Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal berjenama Piaggio di pasaran Malaysia, secara rasminya melancarkan skuter Piaggio Medley S 150 ABS terbaharu.

Model tersebut menggunakan enjin iGet bersesaran 150cc, dilengkapi dengan sistem ‘Start & Stop’, sistem suntikan bahan api, empat pemasa injap (four valve timing) dan sistem penyejuk jenis cecair.

Enjin berprestasi dan mesra alam itu menghasilkan kuasa maksimum 15hp @ 7,750rpm, dengan tork puncak mencapai 14.4Nm @ 6,000rpm, lebih dari cukup untuk tunggangan lancar merentasi bandar.

Piaggio Medley S 150 ABS juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan bertaraf tinggi seperti dwi sistem brek cakera dengan ABS dan diameter roda aloi aluminium yang besar bersaiz 16 inci depan dan 14 inci belakang.

Menurut Naza Premira, servis dan penyelenggaraan enjin skuter Medley terbaharu ini mempunyai selang masa yang panjang, di mana penukaran bendalir dan penapis dilakukan setiap 10,000km dan pelarasan injap hanya dilakukan pada setiap 20,000km.

Secara keseluruhannya tahap penggunaan bahan api berdasarkan kitaran WMTC mencecah 45.9 km/l. Harga tunai OTR yang ditawarkan untuk Piaggio Medley S 150 ABS terbaharu ini ialah sebanyak RM18,996.95.

Motosikal © 2018