Honda RS150R versi 2017 dilancarkan dengan warna dan jalur sporti baharu

Pada tarikh 04hb. Ogos 2017 yang lepas, Boon Siew Honda (BSH) telah melancarkan Honda RS150R model tahun 2017 dengan warna dan jalur grafik baharu yang kini tampil lebih sporti dan memikat. 

Honda RS150R 2017 terbaharu boleh didapati dalam pilihan tiga warna baharu iaitu Edisi Trico, Merah ‘Candy’ (Candy Scintillate Red) dan Biru Mutiara (Pearl Nightfall Blue), bersama-sama warna eksklusif sedia ada, Edisi Repsol.

Telah berada di bilik pameran pengedar Honda mulai 08hb. Ogos 2017, harga yang disyorkan bermula dari RM8,478.94 (Merah ‘Candy’ dan Biru Mutiara) sehingga RM8,796.94 (Edisi Trico dan Repsol), termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Untuk ketenangan minda pemilik dan sebagai mengiktiraf kualiti, model tersebut juga didatangkan dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer jarak perbatuan (yang mana tiba terlebih dahulu).

Menurut BSH, Honda RS150R diperkenalkan di Malaysia pada Jun 2016 dan berada di pasaran secara rasmi mulai Ogos 2016.

Jentera tersebut dilengkapi enjin DOHC 150cc satu silinder dengan sistem penyejukan cecair, seterusnya dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan yang lancar.

Enjin berprestasi itu menawarkan tujahan kuasa pada angka 15.4 hp @ 9,000rpm, manakala daya tork yang dikeluarkan adalah setinggi 13.5Nm @ 6,500rpm. Berat badan RS150R adalah 123kg.

Ianya juga dilengkapi tangki minyak berkapasiti 4.5 liter dan dilengkapi dengan brek cakera di bahagian hadapan dan belakang.

Bentuk badan agresif, bentuk muka dan lampu yang tajam, rangka badan yang berlapis secara tidak langsung menunjukkan keunikan RS150R yang banyak mempengaruhi hati pengguna di Malaysia.

Selepas setahun di pasaran tempatan, RS150R dikatakan mendapat sambutan yang hangat di kalangan rakyat Malaysia. Pencapaian ini boleh dijelaskan melalui prestasinya yang mengagumkan dan reka bentuk yang agresif.

Menurut BSH lagi, secara purata lebih 2,000 unit RS150R dijual pada setiap bulan dan ianya masih belum mampu memenuhi permintaan pasaran sepenuhnya.

Untuk menampung permintaan pasaran yang tinggi itu, BSH telah meningkatkan kapasiti pengeluaran model tersebut demi memastikan semua peminat RS150R mampu memilikinya secepat yang mungkin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *