Motosikal

Informasi Dua Roda

Honda lancar CB150R ExMotion 2017 serba baharu untuk pasaran Thailand

Pada 04 September 2017 yang lepas, A.P. Honda Co. Ltd., pengedar rasmi motosikal Honda di pasaran Thailand, secara rasminya melancarkan model CB150R ExMotion serba baharu.

Hadir dengan gaya rekaan sebuah model ‘Cafe Racer’ yang menjadi kegilaan terkini di peringkat global, Honda CB150R ExMotion 2017 dilengkapi dengan pelbagai ciri dan teknologi inovatif yang dikatakan mengambil DNA daripada model-model Honda lain yang lebih besar.

Honda CB150R ExMotion dilengkapi antaranya enjin 150cc (DOHC, 4 Valve) generasi terbaharu bertaraf EURO6, transmisi 6-kelajuan, sistem penyejuk cecair, teknologi PGM-FI, penyerap hentak depan jenis ‘upside-down’ 41mm, lampu LED sepenuhnya dan paparan meter pelbagai fungsi.

Lebih menarik lagi, kerangka ‘Inner Pivot Type Diamond Frame’ pada CB150R ExMotion telah direka untuk mengalihkan pusat graviti agar berdekatan dengan penunggang untuk kawalan yang lebih mudah.

Ciri-ciri dan teknologi keselamatan terkini yang melengkapi model tersebut terdiri daripada sistem brek ABS dengan G Sensor, brek cakera depan terapung 296mm (comes with radial mount 4 pot calipers), lengan ayun yang ringan, termasuklah tayar belakang lebar 150mm.

Untuk pasaran Thailand, versi standard CB150R ExMotion didatangkan dalam pilihan empat warna iaitu ‘Pearl Cadet Gray’, ‘Millennium Red’, ‘Mat Laurel Green Metallic’ dan ‘Asteroid Black Metallic’, dengan harga pengenalan bermula dari 99,800 Baht.

Bagi model ABS, ianya tersedia dalam pilihan dua warna seperti ‘Gray Black’ dan ‘Black’, dengan harga pengenalan bermula dari 109,800 Baht.

Tiga model edisi terhad turut ditawarkan iaitu 500 unit untuk model CB150R Street Cafe (harga pengenalan bermula dari 135,200 Baht), 1,000 unit model CB150R Scramble Cafe (harga pengenalan bermula dari 118,400 Baht), dan 500 unit untuk model CB150R Moriwaki Edition yang akan dijual mulai Oktober 2017.

Dengan pelancaran Honda CB150R ExMotion ini, boleh dikatakan ini adalah jawapan Honda terhadap model ‘Street Naked’ Yamaha M-SLAZ 150 yang terlebih dahulu dilancarkan di pasaran Thailand pada penghujung 2015.

Sementara itu untuk pasaran Malaysia, tidak dapat dipastikan sejauh manakah keberanian Boon Siew Honda Sdn. Bhd. untuk membawa masuk model tersebut ke pasaran tempatan.

Motosikal © 2017