Yamaha MT-25 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) ketika ini menawarkan dua model dalam siri MT di pasaran Malaysia, iaitu Yamaha MT-07 dan MT-09. Kedua-dua model mempunyai prestasi yang cukup baik apabila masing-masing dikuasakan enjin bersesaran 689cc dua silinder dan 850cc tiga silinder. Yamaha MT-07 dan Yamaha MT-09 di pasaran tempatan ketika ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD), ditawarkan pada harga asas sekitar RM35K untuk MT-07 dan RM45K untuk MT-09.

Di pasaran antarabangsa, model-model dalam siri MT yang lain termasuklah MT-125, MT-25, MT-03, MT-10 yang baru saja diperkenalkan, dan model 150cc Yamaha M-SLAZ di pasaran Thailand yang sebelum ini disebut-sebut akan diberi nama Yamaha MT-15. Besar kemungkinan Yamaha M-SLAZ akan dilancarkan di pasaran Indonesia tidak lama lagi dengan nama MT-15, atau mungkin juga dinamakan dengan nama baru yang unik iaitu Xabre (adakah sebutannya Yamaha Sabri???).

Di antara model-model dalam siri MT yang saya sebutkan tadi, MT-25 dengan enjin 249cc merupakan salah sebuah model terbaharu yang dikhabarkan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Setakat ini HLYM tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk membawa masuk MT-25 ke pasaran tempatan, namun berdasarkan maklumat dari sumber-sumber terkini yang boleh dipercayai, kenyataan tersebut ada kebenarannya. MT-25 setakat ini ditawarkan di pasaran Indonesia dan Jepun sejak tahun lepas, manakala model kembarnya dengan enjin 321cc Yamaha MT-03 telah berada di pasaran Thailand dan Eropah.

Sedikit info mengenai Yamaha MT-25, ianya merupakan sebuah model dalam kategori ‘naked’ yang dibangunkan semula daripada model Yamaha YZF-R25. Begitu juga dengan Yamaha MT-03 yang asasnya adalah daripada model Yamaha YZF-R3. Jika YZF-R25 mempunyai ‘fairing’ lengkap sebagai sebuah model ‘supersport’ dalam kelas permulaan (entry level), MT-25 pula adalah versi lebih kecil bagi model MT-07, MT-09 dan MT-10. MT-25 berkongsi spesifikasi teknikal yang sama dengan model Yamaha YZF-R25, jadi kita boleh menjangkakan prestasinya yang cukup memuaskan dengan kelincahan yang lebih baik terutamanya untuk pemanduan di dalam bandar.

Apabila dilancarkan nanti, Yamaha MT-25 dijangka akan dijual pada harga sama seperti harga jualan YZF-R25, sekitar RM21K. Cuma persoalannya ketika ini ialah bilakah model itu akan di bawa masuk ke pasaran tempatan secara rasmi? Berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas, HLYM mempunyai rekod untuk tidak memberikan sebarang petunjuk awal bagi setiap model yang akan dilancarkannya. Mungkin itu adalah strategi pemasaran syarikat tersebut yang kadang-kala agak sukar difahami dan di luar jangkaan.