Demak EVO ZR 110 model tahun 2016 kini di pasaran

Jika anda seringkali berkunjung ke kedai-kedai menjual motosikal terutamanya di kawasan utara, anda tentu dapat melihat model Demak EVO ZR 110 model tahun 2016 dalam kuantiti yang banyak sedang dipamerkan. Agak menghairankan kenapa situasi tersebut berlaku sebenarnya. Adakah kerana model tersebut menerima permintaan yang terlalu tinggi dari pembeli?

Demak EVO ZR 110 2016 merupakan sebuah moped yang memiliki rekaan agak unik, seolah-olah ianya adalah gabungan daripada motosikal dan skuter keluaran Yamaha, anda tentu tahu model mana yang saya maksudkan. Enjinnya bersesaran 110cc empat lejang dengan kotak gear empat kelajuan, dilengkapi penghidup tendang dan eletrik, serta brek cakera untuk roda depan.

Pelbagai pilihan warna ditawarkan seperti hijau, kuning dan merah dengan corak grafik yang menarik, menjadikan ianya sebagai sebuah model motosikal yang segar dan ceria. Harga jualan Demak EVO ZR 110 model tahun 2016 ini sekitar RM3,200.00, namun maklumat lanjut mengenai harga yang tepat perlu dirujuk melalui wakil penjual kedai motosikal yang berdekatan anda.

Mengenai prestasi dan kualiti, ulasan lanjut tidak dapat diberikan kerana masih belum berpeluang untuk menunggang uji model berkenaan, namun saya kagum dengan keberanian Demak yang memperkenalkan pelbagai model terbaru di pasaran. Saksikan gambar-gambar menarik Demak EVO ZR 110 2016 berwarna hijau dalam galeri di bawah dan berikan komen anda.