Naza N5 Special Edition (SE) 2016 kini di pasaran

Salah sebuah model motosikal ‘naked’ dengan enjin 250cc yang ditawarkan di pasaran tempatan ketika ini ialah Naza N5 yang dilancarkan pada tarikh 19hb. Mei 2014 yang lalu. Naza N5 boleh dikatakan mempunyai reka bentuk dan spesifikasi yang menarik, namun tidak dapat dipastikan sejauh manakah penerimaan pasaran terhadap model tersebut sejak ianya dilancarkan.

Merujuk kepada laman jual beli popular Mudah.my, Naza N5 bagi model tahun 2016 ketika ini ditawarkan dalam versi Special Edition (SE), yang mana ianya tampil dengan warna dan grafik terbaru yang lebih sporty dan menyerlah. Setakat ini hanya beberapa keping gambar Naza N5 Special Edition (SE) 2016 daripada laman Mudah.my sahaja dapat saya siarkan di sini, memandangkan tiada gambar-gambar lain dalam resolusi tinggi yang lebih jelas.

Sedikit info mengenai spesifikasi Naza N5, ianya merupakan model yang terhasil daripada kerjasama di antara Naza dengan syarikat KR Motors daripada Korea Selatan. Enjin 250cc ‘four-valve DOHC’ padanya mempunyai satu silinder tunggal yang menghasilkan kuasa maksimum 28.4hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum bertenaga mencecah 26.1Nm @ 7,000rpm.

Harga terkini Naza N5 Special Edition (SE) 2016 tidak dapat dipastikan dengan tepat, namun sewaktu ianya dilancarkan dahulu, harga permulaan yang ditetapkan untuk 500 pembeli pertama adalah sebanyak RM13,988.00 (OTR). Kepada semua pembaca blog Motosikal.info, adakah anda merupakan salah seorang pemilik motosikal ‘naked’ Naza N5 yang sporty ini?

Sumber : Mudah.my